Jumlah sukatan Dua qullah

Terdapat pendapat yang berbeza di kalangan ulama mengenai jumlah air dua qullah ini.

Dr. Wahbah az-Zuhaili dalam Al-Fiqhul Islami Wa Adillatuhu menyatakan jumlah ini sebagai 270 liter. Jadi bila air dalam jumlahnya kurang dari 270 liter digunakan untuk berwuduk, mandi atau bercampur dengan air yang sudah digunakan untuk berwuduk`, maka air itu dianggap sudah mustakmal. Walaupun air itu suci, air itu tidak lagi boleh digunakan untuk menyucikan. Majlis Agama Islam Singapura juga mentakrifkan dua kolah sebagai 270 liter

Ada pendapat menyatakan jumlah dua qullah ini adalah sebanyak 216 liter. (Hafiz Firdaus Abdullah)

Mengikut Dr Abdul Salam Muhammad Shukri, dari Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, ukuran dua kolah adalah isi padu air kira-kira 9 ¾ tin minyak tanah atau 192.121 kilogram. Ukuran takungan atau bekas air bagi bekas empat persegi tepat pula ialah 22 ½ inci atau 57 sentimeter, manakala bekas yang berbentuk bulat pula garis pusat 18 inci atau 45.75 sentimeter dan tinggi atau dalamnya 25 inci (63.542 sentimeter).

Mengikut Jabatan Mufti Negeri Melaka, jumlah dua kolah kalau dikira dengan tin minyak tanah, maka air dua kolah itu adalah sebanyak 9 2/3 tin ataupun kalau dikira dengan timbangan, maka berat air dua kolah itu adalah seberat 162.72 kg. dan jika dikira dengan ukuran tempat empat persegi, maka air dua kolah itu memerlukan tempat yang berukuran 60 x 60 cm.